TENAGA DAN RUMAH


TIP PENJIMATAN TENAGA RUANG DAPUR

Anda sedia maklum bahawa sebahagian besar tenaga elektrik iaitu hampir 40% digunakan di ruang dapur. Tahukah anda di rumah kos sederhana, anda boleh menjimatkan sehingga 10 % atau RM78 setiap tahun dengan menggunakan peralatan elektrik cekap tenaga di dapur.


PETI SEJUK DAN PENYEJUK BEKU


 Peti Sejuk adalah peralatan elektrik yang paling mahal kos pembiayaannya di rumah kerana digunakan sepanjang hari. Oleh itu potensi penjimatan tenaga bagi peti sejuk adalah tinggi. Kos penggunaan yang rendah bagi peti sejuk dan penyejuk beku baru yang cekap tenaga biasanya boleh menampung kos penggantian peralatan lama yang tidak cekap tenaga.

PENYEJUK BEKU

Penyejuk beku jenis tegak menggunakan lebih banyak tenaga berbanding peti penyejuk jenis peti. Purata kos elektrik penggunaan penyejuk beku jenis peti dan jenis tegak ialah masing-masing RM10 dan RM14 sebulan.

Tip Menjimat Tenaga

Suhu yang diselaraskan pada -18ÂșC akan menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 60kWj setiap tahun iaitu bersamaan RM13.

CEREK


Cerek elektrik ialah alat penjimat perbelanjaan. Cerek elektrik menggunakan tenaga yang kurang berbanding mendidihkan air di dalam cerek biasa dengan menggunakan alat pemanas. Di dalam cerek elektrik, elemen pemanas diletakkan terus di dalam air yang dididihkan dengan itu kehilangan haba dapat dikurangkan. Elemen pemanas juga hendaklah selalu dibersihkan untuk mengurangkan pengunaan tenaga.

Pilihan lain:
Gunakan dapur gas bagi mendidihkan air

Didihkan air dengan menggunakan dapur gas kerana ini lebih murah dan efisien. Sumber haba daripada dapur gas digunakan terus bagi mendidihkan air berbanding dua tahap kerja-penggunaan gas bagi menjana elektrik dan kemudian menggunakan elektrik bagi mendidihkan air.

KETUHAR DAN KETUHAR GELOMBANG MIKRO

Ketuhar ialah peralatan yang memerlukan penggunaan elektrik yang banyak, oleh itu gunakanlah sebaik mungkin. Anda boleh jugamenggunakan ketuhar gelombang mikro. la lebih selamat, efisien dan mudah untuk digunakan serta menjimatkan tenaga.

KETUHAR GELOMBANG MIKRO

Elakkan penggunaan ketuhar semasa kosong kerana ini boleh merosakkan magnetron. Elakkan daripada menggunakan bekas logam. Makanan di dalam ketuhar gelombang mikro akan terus dimasak atau dipanaskan walaupun ketuhar telah ditutup suisnya.


HUD DAPUR


Hud dapur tidaklah mahal untuk digunakan. Ia akan menyedut udara panas dan asap ke luar rumah dengan cepat. Padamkan suisnya setelah digunakan. Pilih hud dapur yang cekap tenaga kerana ia mampu menjimatkan pembayaran bil elektrik. Hud dapur yang menggunakan motor berprestasi tinggi kurang menggunakan tenaga dan tahan lebih lama.

TEMPAT MEMBASUH DAN BILIK AIR

Peralatan elektrik di tempat membasuh dan bilik air dianggarkan boleh menelan belanja sehingga hamper RM400 setahun. Anda boleh menjimatkan perbelanjaan dengan menggunakan peralatan mengikut arahan buku panduan penggunaan dan penyelenggaraannya.


PEMANAS AIR



 • Terdapat 2 jenis pemanas air:
  1. Pemanas air segera - yang memanaskan air semasa ia sedang digunakan (yang biasa terdapat di pasaran)
  2. Pemanas air takungan - yang menakung air panas (jarang terdapat di pasaran)
• Pemanas air jenis takungan lebih cenderung kepada pembaziran elektrik kerana ia akan sentiasa memanaskan air walau pun air panas tersebut tidak digunakan.

Tip Bilik Air/Mandi
  • Pasang kepala pancur mandi hujan yang berkualiti dan beraliran perlahan
  • Baiki paip/pili yang bocor secepat mungkin
  • Gunakan plug di tub mandi bagi menghalang air panas daripada masuk ke longkang
  • Tutup suis di poin kuasa.
  • Guna pengering rambut pada set rendah
  • Keringkan rambut dengan tuala sebelum menggunakan pengering rambut.
 
MESIN BASUH
  
Mesin basuh adalah merupakan keperluan asas bagi setiap rumah yang meringankan beban pengguna. Perenggan berikut akan memberi panduan menjaga dan mengoperasi mesin basuh dengan cekap.

Tip Penjimat Tenaga

Kos membasuh 1 muatan penuh basuhan atau separuh muatan adalah sama iaitu pada RM0.18. Bagi basuhan harian muatan penuh atau muatan separuh, kos seminggu adalah tetap sama iaitu pada RM0.18 x 7 = RM1.26. Manakala basuhan muatan penuh 3 kali seminggu hanya melibatkan kos mingguan sebanyak RM = RM0.54 Ini bermakna basuhan 3 kali seminggu dengan muatan penuh basuhan akan menjimatkan RM37.44 setahun. Oleh itu elakkan basuhan melibatkan separuh muatan.

SETERIKA

Seterika elektrik boleh menjadi pengguna elektrik yang besar sekiranya tidak digunakan secara optimum kerana pada kebiasaannya ia memerlukan kuasa 1000W.


PENYAMAN UDARA

 Penggunaan penyaman udara di rumah pada suatu masa dahulu dianggap sebagai satu simbol  kemewahan. Kini ia telah menjadi satu keperluan atau satu keselesaan yang dapat dinikmati oleh populasi kelas pertengahan kerana penurunan harga dan meningkatnya kecekapan penyaman udara. Penyaman udara yang murah jenis tingkap kurang mendapat sambutan sekarang berbanding jenis ’terpisah’ (split unit) yang lebih senyap kerana kompresornya terasing daripada unit penyaman. Kos elektrik yang rendah bagi penyaman udara baru yang cekap biasanya boleh menampung kos penggantian penyaman udara lama
yang kurang cekap walaupun masih elok.


KIPAS

Kipas ialah peralatan elektrik yang murah serta mudah digunakan dan jarang digantikan. Perkembangan teknologi telah menghasilkan kipas baru yang lebih efisien daripada kipas lama. Kos elektrik yang rendah bagi kipas baru yang cekap kebiasaannya boleh menampung kos penggantian kipas lama yang kurang efisien walaupun masih elok.


HIBURAN DI RUMAH



  
Bila dalam keadaan mod sedia, lampu neon hijau, merah dan kerlipan perkataan akan kelihatan pada televisyen, pemain video, stereo, komputer dan lain-lain peralatan elektrik. Mod sedia adalah petunjuk kepada pembaziran elektrik kerana penggunaan mod sedia boleh mengurangkan sehingga 100kW jam setahun iaitu lebih kurang RM22/tahun. Bagi penggunaan elektrik dengan cekap, pastikan kesemua suis peralatan elektrik ditutup sebaik-baiknya di plug apabila anda tidak menggunakannya.

LAMPU
Lampu biasanya digunakan untuk pencahayaan dan menyumbang 10% atau kurang bagi keseluruhan jumlah bil elektrik. Kos ini boleh dikurangkan dengan menggunakan lampu cekap tenaga dan sentiasa bertindak celik tenaga. Contoh lampu 400W yang digunakan sebanyak 2-3 jam sehari akan menelan perbelanjaan sebanyak RM13.80 untuk tempoh sebulan.

Jenis Lampu

1. Lampu mentol



Menjana haba yang banyak dan kebiasaannya mempunyai kuasa 60W. Kecekapan sinarannya dalam lingkungan 18 lumens/watt – satu sumber cahaya yang kurang cekap.

2. Lampu kalimantang

 
Menjana cahaya cerah pada kuasa 32W. Lampu ini mempunyai balast, kebiasaan kuasanya 8W.

3. Lampu kalimantang mampat (Compact Flourescent Light –CFL)


Pencahayaan cerah yang sama dengan 60W lampu kalimantang tetapi pada kuasa yang lebih rendah iaitu pada 11W. Kecekapan sinarannya dalam lingkungan 60 lumens/watt. Agak mahal tetapi masa hayatnya lapan kali lebih lama daripada lampu mentol biasa dan menggunakan hanya 20% tenaga elektrik bagi menghasilkan pencahayaan yang sepadan.